Jun 09, 2021 - FASMulai awal minggu ini, pasukan utama Selangor FC telah mula menjalani sesi latihan secara ‘camp-based’ sepanjang tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah pasukan Liga Malaysia telah mendapat kebenaran daripada kerajaan pada 28 Mei 2021 yang lalu.
Setelah hampir sebulan lebih berlatih di atas talian (online), latihan kali ini memperlihatkan para jurulatih, pegawai serta pemain Gergasi Merah telah diletakkan di sebuah hotel berdekatan dengan FAS Training Centre dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MFL (Malaysia Football League).
Namun begitu, kem Selangor kali ini sedikit berbeza dengan ketiadaan 5 pemain seperti Khairulazhan Khalid, Brendan Gan dan Syahmi Safari yang sedang bersama pasukan Harimau Malaya serta dua pemain yang masih menjalani sesi pemulihan iaitu Halim Saari dan Shahrel Fikri.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, ketiadaan mereka amat dirasai dan beliau telah menyerap beberapa pemain daripada Selangor FC 2 untuk menjalankan sesi latihan yang telah dirancangnya.
"Ketiadaan 5 pemain tersebut secara jujurnya amat dirasai saya memerlukan 25 pemain padang dan tiga penjaga gol sekurang-kurangnya untuk menjalankan latihan seperti biasa," jelas Karsten.
"Setelah berbincang, selain Hein Htet Aung yang telah telah bermain dalam dua perlawanan Liga Super baru-baru ini, kami juga menyerap masuk tiga pemain berpotensi tinggi daripada pasukan Selangor FC 2 iaitu George Attram (penyerang), Shivan Pillay (pemain tengah) dan Aqil Fadhly (penjaga gawang) akan membantu pasukan utama untuk berlatih seperti biasa."

Pemain-pemain Selangor FC 2 yang diserap masuk tersebut dilihat mempunyai kemampuan untuk bermain dalam tekanan perlawanan yang lebih tinggi seperti Liga super setelah pamerkan potensi mereka di Liga Premier di bawah kendalian Michael Feichtenbeiner.
Karsten juga teruja dengan kehadiran semula Nik Sharif dan Tim Heubach yang telah pulih daripada kecederaan yang mereka alami beberapa bulan yang lalu.
"Nik Sharif akan menyertai pasukan semula setelah sekian lama menjalani sesi pemulihan. Saya tidak sabar untuk melihat potensi sebenar beliau dan saya yakin beliau sudah lama tunggu untuk berlatih bersama pasukan," ulas Karsten.
"Tidak lupa juga Tim Heubach yang sudah lebih beberapa minggu kembali berlatih mengikut program yang disediakan bersama pemain-pemain yang lain sewaktu Liga M mula berehat."

"Pasukan Selangor FC mempunyai gabungan yang baik dari pemain-pemain berpengalaman dan pemain muda. Bagi saya ia sudah berada di landasan yang tepat untuk membina sebuah pasukan yang boleh beraksi dengan baik di jangka masa yang panjang. Namun, kita harus mempercayai proses ini dan saya benar-benar yakin dengan pasukan ini."
Selangor FC mengucapkan selamat kembali berlatih kepada pasukan utama Gergasi Merah. Semoga terus berlatih dengan cemerlang untuk persediaan sementara menunggu Liga M bersambung bulan hadapan.
Perkembangan lanjut mengenai pasukan utama Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.
Demi Kebanggaan.